CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Saturday, October 18, 2008

Juruterbang gagah membelah awan

MENAKLUK awam biru sering kali menjadi antara cita-cita yang diidamkan. Bagi anak gadis, baju kebaya cantik yang disarung pramugari menjadi impian manakala anak teruna pula, lebih teruja dengan kerjaya sebagai juruterbang.Bukan saja pakaian kemas yang kelihatan amat segak bila dikenakan, cabaran, imej, gaji (purata RM5,000 hingga RM25,000) dan pulangan lumayan pastinya menjadi tarikan. Namun, bukan semua yang bernasib baik dapat menjalani latihan penerbangan dan bergelar juruterbang. Kelayakan akademik yang baik, satu caturan dan paling utama, yuran pengajiannya amat mahal sesuai dengan tugas dan tanggungjawab yang harus dipikul seorang juruterbang.Beratus, beribu, malahan puluhan ribu nyawa `di tangan’. Sebarang kesilapan dan ketidakupayaan menangani sebarang masalah ketika terbang laju di udara akan membawa 1,001 keburukan.Kerana itu juga, latihan yang perlu dijalani sebelum bergelar juruterbang amat mencabar keupayaan dan ketahanan mental serta fizikal. Bagi yang berminat bergelar juruterbang, Asia Pacific Flight Training (APFT) adalah lokasi tepat mengejar cita-cita.Bertempat di Pengkalan Chepa, Kelantan, sekolah latihan juruterbang bertaraf dunia ini menyediakan kursus berkenaan dengan didokongi 14 jurulatih berpengalaman dan berkemahiran tinggi.Pengurus Besar merangkap Pengetua APFT, Mejar (B) Mohd Khalid Ali, 56, yang berpengalaman luas dalam pengurusan operasi, penerbangan korporat dan memiliki lesen Juruterbang Pengangkut Udara (ATPL), berkata bukan mudah menjadi juruterbang. “Banyak ujian, halangan dan cabaran yang perlu dilalui. Saya sendiri mengikuti kursus jurulatih di Royal Air Force College Shawbury, United Kingdom dan kursus keselamatan penerbangan dengan UCLA, California, selain kursus pengurusan penerbangan di RAF College Cranwell dan Weybridge, London, United Kingdom. “Namun, setiap pelatih di sini mempunyai jaminan kerjaya sebagai juruterbang bertaraf antarabangsa sama ada dengan Penerbangan Malaysia (MAS) atau syarikat penerbangan lain di dunia,” katanya yang menguruskan 65 bakal juruterbang ketika ini.Bakal juruterbang, Abdul Rahman Abdul Malik, 20, anak kelahiran Sarawak, amat bertuah kerana cita-citanya untuk menjadi juruterbang bakal menjadi kenyataan.Dia yang dulunya mengikuti pengajian A Level di New Zealand mengambil keputusan beralih haluan dan mengejar cita-cita yang ditanam sedari kecil.Lebih bertuah apabila hasrat Abdul Rahman menjadi juruterbang disokong penuh keluarga yang bersedia membiayai pengajiannya di sebuah sekolah latihan juruterbang bertaraf dunia, Asia Pacific Flight Training (APFT), di Pengkalan Chepa, Kelantan.Anak bongsu daripada lima beradik, Ahmad Syamil Othman, 19, juga amat bertuah kerana cita-cita menjadi juruterbang mendapat sokongan keluarga.Lulusan jurusan sains komputer kolej swasta itu mengakui kerjaya juruterbang bukan mudah. Latihannya juga sudah cukup menguji. Pengalaman pertama membuat pusingan tajam pada ketinggian lebih 2000 kaki dengan pesawat satu enjin ketika latihan memang mengerikan namun ia bukan halangan baginya untuk menggapai cita-cita.“Alah bisa tegal biasa. Saya sukakan kerjaya ini dan pasti akan bergelar juruterbang satu hari nanti. Saya tidak akan sia-siakan pengorbanan keluarga yang sanggup membiayai pengajian di APFT,” katanya yang berasal dari Kuala Lumpur.Pelatih APFT yang dibiayai Penerbangan Malaysia (MAS), Mohd Ridhzuan Sapri, 25, dari Sabah, berkata dia memohon menjadi juruterbang kerana minat yang mendalam."Meskipun mampu mendapatkan pekerjaan selesa dengan ijazah daripada Universiti Multimedia yang saya miliki, saya tetap memilih juruterbang sebagai kerjaya kerana beranggapan ia kerjaya yang amat mencabar,” katanya.Bekas pelajar Kolej Damansara Utama Kuala Lumpur, Ashwin Ganapathy, 19, berkata keputusan cemerlang 9A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) lalu melayakkan dia mendapat biasiswa kerajaan bagi mengikuti pengajian di situ.

0 comments: